HULU LANGAT: Siasatan awal polis terhadap kes tiga beradik dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis methadone pada 11 Februari lalu menunjukkan kejadian berlaku tanpa sebarang niat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini siasatan masih belum selesai dan kes itu menjurus kepada kecuaian ibu bapa.
“Berdasarkan siasatan awal, kami tidak nampak unsur sengaja atau berniat. Ia lebih kepada kecuaian ibu bapa yang membawa kepada pengabaian.
“Siasatan juga menunjukkan ubat berkenaan adalah milik bapa kepada kanak-kanak tersebut yang menjalani rawatan menggunakan methadone dan ubat itu sebenarnya untuk kegunaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang di sini, hari ini.
Shazeli berkata, kecuaian dipercayai berlaku apabila ubat berkenaan tersalah diberikan berkemungkinan disebabkan keadaan tergesa-gesa atau faktor lain.
Mengulas keadaan dua lagi kanak-kanak, beliau berkata, kedua-duanya masih dirawat di hospital namun menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif.
“Setakat ini mereka masih di bawah rawatan doktor dan menunjukkan proses pemulihan yang baik. Tarikh discaj bergantung kepada penilaian pihak hospital,” ujarnya.
Tambahnya, ubat methadone tersebut diperoleh daripada sumber yang sepatutnya manakala ibu bapa kanak-kanak berkenaan telah diberikan jaminan polis beberapa hari selepas ditahan.
“Kami memberi jaminan polis kerana memahami situasi keluarga ini supaya mereka dapat menguruskan kebajikan, khususnya berkaitan urusan anak yang meninggal dunia,” katanya. –UTUSAN










