Kes liwat: Bukan mahu buka aib, dedah salah guna kuasa -Aqlal Sahar - Utusan Malaysia

Kes liwat: Bukan mahu buka aib, dedah salah guna kuasa -Aqlal Sahar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Aqlal Sahar menyifatkan pengalaman hitam yang dikongsikannya baru-baru ini mengenai dirinya sebagai mangsa liwat sebagai satu pendedahan berkaitan penyalahgunaan kuasa yang berlaku ketika beliau masih kanak-kanak.

Menurut Aqlal, 35, kejadian itu dipendam sekian lama kerana pelaku merupakan individu berusia, mempunyai kedudukan serta merupakan ahli keluarganya sendiri.

“Dalam keadaan tersebut, saya tidak mempunyai keberanian atau rasa selamat untuk bersuara. Jika saya bercakap ketika itu, saya sendiri tidak pasti siapa yang akan mempercayai saya,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram.

Aqlal menegaskan pendedahan tersebut bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya dilakukan atas rasa tanggungjawab selepas mendapati terdapat individu lain yang turut menjadi mangsa.

“Saya bersuara hari ini kerana saya percaya saya bukan mangsa yang pertama dan bukan juga yang terakhir. Sejak saya membuka cerita ini, ada individu lain tampil berkongsi pengalaman hampir serupa.

“Atas sebab itu, saya merasakan tanggungjawab untuk bercakap bukan kerana dendam, tetapi demi perlindungan dan kebenaran,” tulisnya.

Pelakon Diari Ramadan Rafique itu turut mendedahkan perjalanan hidupnya selepas kejadian berkenaan tidak sentiasa mudah apabila berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan dewasa.

Beliau bagaimanapun mengakui bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hala tuju hidupnya ketika dewasa, namun menegaskan perkara itu tidak mengubah hakikat apa yang berlaku semasa beliau masih kanak-kanak.

Buat masa ini, Aqlal memaklumkan isu tersebut sedang ditangani secara berhati-hati dan bertanggungjawab tanpa menamakan mana-mana individu, selain menghormati privasi semua pihak yang terlibat.

Beliau berharap perbincangan awam berkaitan pendedahan itu kekal berfokus kepada isu utama, iaitu penyalahgunaan kuasa terhadap kanak-kanak, dan tidak terpesong kepada spekulasi atau serangan peribadi.

“Harapan saya agar perkara seperti ini tidak terus berlaku dalam senyap,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan menerima laporan daripada seorang pelakon lelaki yang mendakwa dirinya menjadi mangsa perlakuan seks luar tabii. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN