KUALA LUMPUR: Kes kemalangan industri dan kemalangan perjalanan meningkat kepada 71,405 kes pada 2025 berbanding 66,574 kes pada 2024.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, peningkatan itu membabitkan lonjakan kes kemalangan industri sebanyak 1.4 peratus, manakala kemalangan perjalanan melonjak 13 peratus.
“Perkembangan tersebut menuntut pelaksanaan langkah pencegahan yang lebih sistematik dan berfokus, selari dengan usaha memperkukuh keselamatan di tempat kerja serta perjalanan,” katanya pada Majlis Konvensyen Pencegahan Perkeso, Penyerahan Geran Bantuan Kewangan Perkeso kepada institusi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pelancaran Ops Cegah 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 7,833 majikan terlibat dalam Ops Cegah 2025 dengan 83 peratus daripadanya merekodkan penurunan kes kemalangan di tempat kerja.
“Secara keseluruhan, jumlah kes kemalangan dalam kalangan majikan terlibat mencatatkan pengurangan 33.6 peratus bagi kemalangan industri dan 16.7 peratus bagi kemalangan perjalanan.
“KESUMA menerusi Perkeso menyasarkan penglibatan lebih 10,000 majikan dalam Ops Cegah 2026, peningkatan 27.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Perkeso turut meluluskan peruntukan geran RM3.9 juta bagi membiayai 646 program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) melalui kerjasama 37 NGO dan institusi,” katanya.
Dalam pada itu, Perkeso turut memeterai Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) dan Givi Asia Sdn. Bhd. melibatkan
pelaksanaan latihan menunggang secara selamat di Centre for Applied Prevention in Social Security (CAPSS), bakal beroperasi di Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik & Cybernics Kebangsaan PERKESO, Ipoh, Perak. – UTUSAN










