Kerajaan tunggu hasil kajian UIAM sebelum putuskan pilihan raya Datuk Bandar

Kerajaan tunggu hasil kajian UIAM sebelum putuskan pilihan raya Datuk Bandar

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebarang keputusan berkait cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur hanya akan diputuskan selepas hasil kajian diperoleh daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kajian tersebut sedang dijalankan bagi menilai kesesuaian cadangan berkenaan sebelum ia dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut.

Menurutnya, kajian itu dilaksanakan susulan kewujudan rang undang-undang persendirian yang pernah dikemukakan oleh seorang ahli Parlimen dalam sidang Parlimen sebelum ini, sekali gus memerlukan penelitian menyeluruh daripada sudut perundangan dan pentadbiran.

“Saya telah jelaskan bahawa pada peringkat ini kita berada di peringkat kajian. Kajian ini dibuat kerana ada rang undang-undang persendirian yang telah dikemukakan dalam sidang Parlimen yang lepas.

“Kajian ini bukan dilaksanakan sekarang, sebaliknya telah bermula sejak Disember lalu semasa pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan terdahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menandatangani kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Hannah berkata, kajian berkenaan dijalankan oleh UIAM, sebuah institusi akademik yang mempunyai reputasi dan kredibiliti tersendiri, serta tidak dipengaruhi mana-mana kepentingan politik.

Beliau berkata, setakat ini pihak kementerian belum menerima dapatan kajian, dan keputusan sama ada perlu meminda akta berkaitan Wilayah Persekutuan atau sebaliknya hanya akan dibuat selepas hasil kajian dibentangkan.

“Selepas kita dengar hasil kajian sama ada boleh dibuat atau tidak, barulah kertas Kabinet akan disediakan untuk dimaklumkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Mengulas bantahan beberapa pemimpin politik terhadap cadangan pemilihan Datuk Bandar, Hannah menegaskan adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan ketika proses kajian masih berjalan.

“Buat masa ini, adalah pramatang untuk memberi komen lanjut kerana kajian masih dalam proses,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN