Kerajaan negeri menerusi Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) Jerantut turun menyantuni kanak-kanak, Mohd. Adam Mat Noh, 7, yang menderita usus terkeluar daripada perut di Felda Kota Gelanggi Empat, Jerantut baru-baru ini.
Pengerusi MPWP Jerantut yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd. Azman berkata, pihaknya terpanggil apabila dimaklumkan oleh Gabungan Persatuan
Wanita (GPW) Felda Kota Gelanggi Empat dan penduduk mengenai kanak-kanak tersebut menderita usus tersembul daripada perut sejak dilahirkan.
“Kita juga dimaklumkan kanak-kanak ini belum lagi mendaftar masuk tahun satu yang sepatutnya dia mula bersekolah tahun ini lantaran keadaan tubuhnya tidak selesa dan dibimbangi berlaku pendarahan apabila memakai baju dan seluar kerana ususnya cuma dibalut dengan bekas plastik.
“Penderitaan Mohd Adam semakin bertambah apabila keadaan bapanya, Mat Noh Mohamed juga seorang duda Orang Kurang Upaya (OKU) mengalami penyakit kencing manis dan saraf,” ujarnya.- UTUSAN









