PUTRAJAYA: Kerajaan setakat hari ini belum memutuskan apa-apa tindakan dan langkah lanjut berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu turut dimaklumkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang memberikan taklimat terkini mengenai perkara itu.
“Datuk Seri Johari memaklumkan bahawa satu perbincangan lanjut antara Malaysia dan AS akan diadakan minggu depan bagi melihat lanjut perkara itu.
“Beliau (Johari) telah memaklumkan akan berhubung dengan rakan sejawat dari AS pada minggu depan bagi membincangkan mengenai perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Ditanya sama ada Jemaah Menteri telah memberi apa-apa keputusan mengenai perjanjian itu pada mesyuarat hari ini, Fahmi berkata, tiada keputusan dicapai dan sebarang langkah lanjut akan dibuat selepas pertemuan Johari dengan rakan sejawat dari AS itu.
“Perlu ada mesyuarat itu dulu sebelum sebarang keputusan lanjut diambil,” katanya.
Johari sebelum ini memaklumkan, kerajaan sedang menilai implikasi keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) dan tarif baharu yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump itu.
Menurutnya, Malaysia mengambil maklum mengenai keputusan mahkamah tertinggi AS yang disampaikan pada 20 Februari dan sedang meneliti semula perkembangan undang-undang dan dasar terkini AS.
Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Agung AS telah membatalkan sebahagian besar daripada langkah tarif yang diperkenalkan Trump sebelum ini, dengan memutuskan bahawa Trump tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang AS untuk mengenakan tarif menyeluruh secara unilateral. – UTUSAN










