PETALING JAYA: Pengusaha pelancongan yang gagal mematuhi garis panduan keselamatan termasuk bagi menyediakan pemandu pelancong berlesen bagi setiap perjalanan persiaran akan diambil tindakan tegas.
Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha pelancongan yang gagal mematuhi garis panduan keselamatan termasuk menyediakan pemandu pelancong berlesen bagi setiap perjalanan persiaran.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah berlandaskan peruntukan undang-undang dan bertujuan memastikan keselamatan pelancong sentiasa menjadi keutamaan.
Menurut beliau, berdasarkan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), mana-mana perjalanan persiaran atau aktiviti pemanduan pelancong yang melibatkan kenderaan membawa pelawat bagi tujuan pelancongan hendaklah mempunyai lesen yang sah serta mematuhi ketetapan ditetapkan.
“Tugas pemandu adalah memandu kenderaan, manakala tugas pemandu pelancong adalah memberi penerangan dan menjaga kebajikan pelancong sepanjang perjalanan.
“Sehubungan itu, saya tidak menggalakkan kenderaan pelancongan yang menjalankan perjalanan persiaran membenarkan pemandu memegang dua peranan serentak sebagai pemandu kenderaan dan pemandu pelancong.
“Hal ini kerana keadaan ini boleh menyebabkan pemandu gagal memberi tumpuan sepenuhnya ketika mengemudi kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Tiong kIng Sing berkata, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang semasa dan bukan menyasarkan mana-mana pihak tertentu.
“Semua pengusaha pelancongan berlesen hendaklah mematuhi sepenuhnya kehendak undang-undang. Sebarang pelanggaran peruntukan atau penyalahgunaan mekanisme pengecualian boleh dikenakan tindakan seperti denda, pendakwaan atau penggantungan lesen.
“Kami mendapati terdapat segelintir pengusaha pelancongan berlesen yang mengamalkan ‘penyewaan’ lesen, iaitu menyewakan lesen kepada pemandu kenderaan pelancongan atau pengendali kenderaan pelancongan. Perkara ini tidak lagi boleh kami biarkan,” tegasnya.-UTUSAN










