‘Kenderaan banyak namun bergerak lancar’ - Utusan Malaysia

‘Kenderaan banyak namun bergerak lancar’

KEADAAN di R&R Tapah yang dipenuhi pelanggan ketika tinjauan sempena cuti Tahun Baru Cina di Tapah, Perak hari ini.-UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan di sini bagi perjalanan menuju utara mencatat peningkatan jumlah kenderaan hari ini berikutan musim cuti persekolahan dan sambutan Tahun Baharu Cina.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan Tapah mendapati berlaku kesesakan dari Tol Bidor ke kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Tapah namun kenderaan bergerak lancar.

Pengguna lebuh raya yang ditemui berkata jumlah kenderaan meningkat namun tidak berlaku kesesakan teruk.

Tinjauan di R&R Tapah pula mendapati kawasan rehat itu dipenuhi pengguna yang berhenti untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke utara.

Marzuki Abdullah, 52, dari Kuala Lumpur berkata, dia dalam perjalanan ke Sungai Petani, Kedah dan singgah di R&R Tapah untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke utara.

Menurutnya, sepanjang perjalanan memang berlaku kesesakan namun tidak terlalu teruk.

“Saya bertolak dari Kuala Lumpur pukul 10 pagi dan tiba di Tapah lebih kurang pukul 1 petang. Sepanjang perjalanan memang banyak kereta, berlaku kesesakan namun tidak begitu teruk.

“Bagi saya ini perkara biasa sebab musim cuti, jumlah kenderaan di lebuh raya sudah pasti bertambah namun keadaan masih terkawal, tidaklah sangkut terlalu lama dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.

R. Chandran, 67, dari Kajang yang dalam perjalanan ke Pulau Pinang juga melalui perjalanan yang agak selesa walaupun berlaku kesesakan trafik.

“Saya dan anak-anak bertolak dari Kajang pukul 11.30 pagi dan sampai ke Tapah lebih kurang pukul 3 petang. Memang berlaku kesesakan trafik di sepanjang perjalanan sebab jumlah kereta bertambah.

“Namun pada keseluruhan perjalanan lancar kerana tidak berlaku kemalangan yang boleh menghalang pergerakan trafik,” katanya.

Zarina Zakaria, 62, dari Jelebu, Negeri Sembilan menuju Ipoh lega kerana menempuh perjalanan selesa di lebuh raya walaupun jumlah kenderaan bertambah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN