KUALA LUMPUR: Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) telah memasuki bulan pertama pelaksanaannya, namun suasana promosi pelancongan itu dilihat masih kurang menonjol dan suram di sekitar kawasan tumpuan pelancong seperti Taman KLCC dan Suria KLCC.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, tiada sepanduk atau bahan promosi berkaitan TMM 2026 dikesan di kawasan berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap penyampaian kempen kepada pengunjung, khususnya pelancong asing.
Bagaimanapun, kehadiran orang ramai berada pada tahap sederhana dengan kebersihan kawasan awam terpelihara hasil kerja petugas pembersihan, walaupun terdapat sedikit sampah kecil di sekitar tong sampah.
Seorang pengunjung tempatan, Rosbaizuranie Bokun, 36, berkata, dia mengetahui mengenai kempen TMM 2026 namun tidak mengambil perhatian secara mendalam terhadapnya.
“Saya pernah dengar tentang kempen itu, cuma tidak ambil tahu sangat. Tetapi setakat ini, KLCC memang sesuai untuk pelancong dari segi kebersihan dan keselamatan,” katanya ketika ditemui di Taman KLCC, semalam.

Menurutnya, kawasan tersebut boleh dikategorikan sebagai mesra pengunjung dengan kemudahan asas yang memuaskan serta pemantauan keselamatan yang baik, khususnya bagi keluarga dan kanak-kanak.
Sementara itu, seorang pelancong dari Mexico, Benjamin Hernandez, 32, mengakui dia tidak mengetahui mengenai kempen TMM 2026 meskipun sudah seminggu berada di negara ini.
“Saya rasa Kuala Lumpur sangat selamat dan bersih. Orang ramai mesra, makanannya sedap dan bandar ini sangat pelbagai dari segi budaya. Tetapi saya tidak tahu tentang kempen pelancongan itu,” katanya.

Benjamin turut membandingkan Kuala Lumpur dengan Bangkok dan menyifatkan ibu negara Malaysia itu lebih mesra pelancong dari segi pengangkutan awam dan pergerakan bandar, walaupun beberapa laluan pejalan kaki masih boleh dipertingkatkan.
Dari sudut kebersihan pula, hasil tinjauan mendapati tiada aktiviti pembuangan sampah secara terbuka oleh pengunjung, walaupun terdapat sisa kecil seperti tisu dan pembungkus makanan di sekitar tong sampah.
Situasi itu menunjukkan tahap kesedaran awam yang baik terhadap kebersihan kawasan pelancongan, namun pada masa sama menimbulkan keperluan untuk memperkukuh aspek promosi TMM 2026 agar kempen nasional tersebut benar-benar dirasai dan difahami oleh pelawat tempatan serta antarabangsa, khususnya di lokasi tumpuan pelancong utama negara. – utusan











