PETALING JAYA: Seramai tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) didakwa hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian kadet PALAPES, Syamsul Haris Shamsudin.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor pada pukul 9 pagi ini.
“PDRM menerima semula kertas siasatan daripada Jabatan Peguam Negara pada 24 Februari tahun lalu berhubung kematian Syamsul Haris yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
“Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan pertuduhan ke atas tiga orang jurulatih PALAPES di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, hukuman di bawah Seksyen 304(a) adalah penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini bagi menghormati prosedur perundangan dan prinsip keadilan jenayah di negara ini,”jelasnya.
Pada 29 Ogos tahun lalu, kubur Allahyarham Syamsul Haris digali semua bagi proses bedah siasat kali kedua.
Tindakan itu selepas Ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun mengemukakan permohonan menggali semula kubur dan mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya pada 19 Ogos tahun lalu.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai tahun lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.-UTUSAN










