KLUANG: Kebakaran tanah gambut dilaporkan berlaku membabitkan empat hektar ladang kelapa sawit dan lima hektar ladang nanas di Ladang Peninsular Plantation Sdn. Bhd., Simpang Renggam di sini, sejak Jumaat lalu.
Sebelum ini, insiden sama turut berlaku di Pengerang dan Muar.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Kanan Bomba II Siti Hajar Sanusi berkata, panggilan kecemasan dibuat oleh pemilik ladang pada pukul 8.34 malam kelmarin, sebelum unit dron digerakkan ke lokasi untuk pemantauan.
Katanya, pemadaman awal bermula pukul 9 pagi semalam melibatkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dan diteruskan hari ini dengan bantuan 11 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpang Renggam serta Layang-layang dan 20 pekerja ladang.
Ujarnya, operasi pemadaman masih berjalan dan amat bergantung kepada keadaan cuaca.
“Kita menjangkakan api dapat dipadamkan sepenuhnya antara satu hingga dua hari lagi sekiranya hujan.
“Pemadaman dilakukan secara semburan terus menggunakan sumber air terbuka, selain menggali parit bagi menghalang api merebak ke kawasan lain,” katanya hari ini.
Siti Hajar berkata, setakat ini, kira-kira 25 peratus kawasan kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan, namun angin kencang mengganggu usaha pemadaman sehingga menyebabkan bara api merebak.
“Parit kecil di ladang kelapa sawit digunakan sebagai sumber air untuk pemadaman manakala di ladang nanas menggunakan lori tangki milik PBS dan pihak pengurusan ladang.
“Buat masa ini api berjaya dikawal, namun kami masih bimbang kerana ladang nanas terletak berhampiran kawasan penempatan penduduk, iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi kebakaran,” katanya. – UTUSAN










