Kebakaran kenderaan: Pemilik pusat tuisyen antara tiga ditahan

Kebakaran kenderaan: Pemilik pusat tuisyen antara tiga ditahan

AZIZEE Ismail (kanan) bertemu dengan orang ramai pada majlis advokasi dan pelancaran Ops Selamat 25/2026 sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Jelutong, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis menahan tiga individu termasuk pemilik sebuah pusat tuisyen bagi membantu siasatan kejadian kebakaran yang memusnahkan sembilan buah kenderaan di parkir Kondominium Tunas Residensi, Bayan Lepas, pada 27 Januari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mereka yang ditahan termasuk sepasang suami isteri yang mengendalikan pusat pembelajaran berkenaan dan pemandu kepada pasangan tersebut.

Katanya, ketiga-tiga suspek berusia 40 hingga 50 tahun dan siasatan awal polis mendapati, kebakaran dipercayai berpunca daripada unsur khianat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya selepas majlis advokasi dan pelancaran Op Selamat 25/2026 sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Jelutong di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sembilan buah kenderaan terdiri daripada lima buah kereta dan empat motosikal musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 4.50 pagi di kondominium berkenaan.

Dalam pada itu, Azizee berkata, kertas siasatan kes bunuh seorang ibu tunggal di Flat Sri Murni, Sungai Dua telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pagi ini.

Dalam kejadian minggu lepas, mangsa berusia 41 tahun dan bekerja sebagai pemandu van sekolah, dijumpai dalam keadaan terbaring di rumahnya dengan kesan luka kelar pada leher dipercayai akibat dibunuh dengan senjata tajam.

Susulan kejadian itu, polis menahan tiga suspek termasuk seorang lelaki warga asing dan ketiga-tiga mereka direman selama tujuh hari dan dilanjutkan hingga Isnin, bagi membantu siasatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN