PETALING JAYA: Tidak menyangka gurauan spontan bersama seorang jurusolek dikenali sebagai Dek Yan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, pelakon, Kamal Adli tampil memberikan penjelasan.
Menurut Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, tindakan menarik rambut jurusolek tersebut ketika sesi siaran langsung sebuah jenama pakaian tempatan hanyalah sekadar gurauan memandangkan hubungan mereka sudah lama terjalin.
“Saya sudah lama kenal Dek Yan dan sejak dulu lagi kami memang bergurau kasar begitu. Kadang-kadang dia tarik rambut saya, memang itu cara kami bergurau.
“Lagipun kami berdua lelaki, jadi memang begitulah cara kami berjenaka,” jelasnya menerusi respons kepada seorang pengguna media sosial.
Dalam masa sama, Kamal mengakui memahami sekiranya tindakan tersebut disalah tafsir sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengikutnya.
“Maaf jika ada yang kurang selesa dengan gurauan kami. Dek Yan pun kadang-kadang tarik dan ketuk saya juga. Saya tidak ambil hati,” katanya.
Terdahulu, segelintir pengguna media sosial meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan pelakon itu yang dilihat menarik rambut jurusolek berkenaan sehingga menyebabkan lelaki itu terjatuh.
Menerusi rakaman video yang tular, Kamal bertindak demikian selepas jurusolek tersebut menyakatnya ketika sesi siaran langsung berlangsung. -UTUSAN










