Juruteknik dituduh pecah amanah

Juruteknik dituduh pecah amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang juruteknik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM165,094, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Rizal Sangaiman, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan curangnya menggunakan wang milik UTHM berjumlah RM67,429 untuk kegunaan sendiri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Kundang, Taman Bukit Pasir, Batu Pahat antara 28 Januari 2021 hingga 27 November 2021.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Mohd. Rizal didakwa telah mengulangi perbuatan sama melibatkan wang berjumlah RM97,665.50 di lokasi sama antara 1 Januari 2022 hingga 11 Jun 2022.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat serta hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Mac depan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ameera D’Aneez Mohd. Shukari manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN