Johor tubuh 'task force' lindungi IKS tempatan - Utusan Malaysia

Johor tubuh ‘task force’ lindungi IKS tempatan

Onn Hafiz Ghazi menyampaikan cek bernilai RM1 juta kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Selatan, Datuk Vincent Tan Meng Seng pada Majlis Silaturahim Tahun Baharu Cina di Kolej Universiti Selatan, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor bakal menubuhkan jawatankuasa khas bagi memperkasa dan melindungi sektor industri kecil dan sederhana tempatan (IKS) daripada ancaman ‘usahawan’ tidak berdaftar di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sehubungan itu berkata, pihaknya akan bertindak tegas bagi membasmi pelancong yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja atau menjalankan perniagaan secara haram di negeri ini.

Menurut beliau, jawatankuasa yang ditubuhkan itu dianggotai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan di peringkat negeri dan Pusat.

“Kita alukan kehadiran pelabur luar, tetapi ada juga pihak ambil kesempatan masuk ke Johor, masuk ke Malaysia dengan visa pelancong tetapi ambil kesempatan di negeri ini. Atas maklum balas itu, Johor bercadang menubuhkan satu ‘task force’ untuk pemerkasaan dan perlindungan IKS tempatan.

“Untuk ini kita kena libatkan Kementerian Kewangan, pihak berkuasa tempatan (PBT), Imigresen dan lain-lain. Sesiapa yang masuk melancong ke Johor sepatutnya hanya melancong.

“Kalau mereka ambil kesempatan, datang untuk berniaga kita akan humban dalam penjara. Kita alukan pelaburan tetapi perlu lindungi rakyat kita, jangan ada ambil kesempatan dalam kita bangunkan ekonomi,” katanya berucap pada Majlis Silaturahim Tahun Baharu Cina di Kolej Universiti Selatan, di sini malam tadi.

Tambah Onn Hafiz, jawatankuasa khas tersebut akan diterajui Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.

“Tindakan tegas ini perlu dibuat susulan aduan kebimbangan IKS tempatan sama ada mereka mampu bersaing seiring dengan transformasi ekonomi negeri susulan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Pembangunan ekonomi kita lihat hari ini hanya permulaan, akan ada lebih banyak kemajuan untuk dicapai termasuk melibatkan golongan usahawan IKS tempatan sedia ada,” katanya..

Pada majlis itu, Onn Hafiz turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Kolej Universiti Selatan sebagai sokongan kepada sektor pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN