PUTRAJAYA: Jenazah Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini pada pukul 5.50 petang tadi.
Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Musolla Taman Selatan Presint 20, Putrajaya, selepas waktu solat Asar dengan diimamkan Imam Masjid Mahmoodiah Presint 18, Ustaz Rafuwan Putra Affendi yang disertai kira-kira hampir 200 jemaah.
Ustaz Rafuwan Putra Affendi, turut membacakan talkin selepas Allahyarham dikebumikan, yang dihadiri keluarga dan sahabat di tanah perkuburan itu.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 84 tahun di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), tengah hari tadi akibat sakit tua selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 9 Feb lepas.
Abdul Hamid dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003 dan kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada Disember 2007 hingga Oktober 2008. – UTUSAN










