JOHOR BAHRU: Kerajaan menyerahkan siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, kepada jawatankuasa khas.
Jurucakap kerajaan perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kabinet telah memberi maklum balas berkenaan isu itu dengan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan penuh.
“Barisan jemaah menteri menyerahkan perkara ini kepada jawatankuasa. Tan Sri Azam Baki juga bersikap terbuka dan bersedia disiasat,” katanya pada Majlis Pelancaran Jelajah Ramadan RTM 2026 di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah, di sini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, dan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Sebelum ini, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas bagi menyiasat isu pemilikan saham berkenaan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menegaskan siasatan terperinci akan dijalankan untuk memastikan keadilan bagi semua pihak terlibat.
Agensi berita Bloomberg sebelum ini mendakwa Tan Sri Azam memiliki saham bernilai kira-kira RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.-UTUSAN










