HULU LANGAT : Kejadian merobohkan sebuah kuil di Rawang adalah berkaitan isu pencerobohan dan keengganan untuk berpindah keluar dari tanah berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tidak wajar kejadian dijadikan sebagai su perkauman atau keagamaan cuma kebetulan kes itu melibatkan rumah ibadat.
“Isu ini sebenarnya bersifat straight forward. Ia tidak wajar dijadikan isu perkauman atau keagamaan kerana perkara sebenar adalah berkaitan pencerobohan dan keengganan untuk berpindah keluar dari tanah berkenaan.
“Pada peringkat ini, saya tidak boleh mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan dan kami tidak mahu menimbulkan sebarang persepsi terhadap mana-mana pihak sama ada pemilik tanah mahupun pihak pengurusan kuil.
“Apabila siasatan selesai dan keputusan diperoleh, perkara itu akan dikongsikan kepada media dan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang di sini hari ini.
Tambah Shazeli, individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan susulan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dan polis mematuhi sepenuhnya keputusan mahkamah tersebut.
“Pihak media perlu membantu menenangkan keadaan dan memastikan maklumat yang disampaikan tidak menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Khamis lalu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret sama terhadap aktivis, Tamim Dahri dan tiga rakannya, berhubung isu perobohan kuil tidak sah di Taman Rawang Perdana.
Menerusi kenyataan di akaun Facebook, peguam, Aidil Khalid dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah memanggil kes berkenaan untuk semakan semula.
Sebelum ini, Tamim bersama tiga rakannya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan awal pagi semalam.
Shazeli dilaporkan berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 504 kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan serta Seksyen 295 kerana mencemarkan tempat ibadat.
Tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang individu yang mendakwa kuil telah dirobohkan tanpa perbincangan dan pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan dan pengadu sebelum kerja pembersihan dijalankan.
Kawasan tersebut merupakan tanah milik sebuah yayasan yang telah diceroboh sejak 2018 dan perobohan dibuat bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah asnaf. – UTUSAN










