PETALING JAYA: Rakyat Malaysia diingatkan untuk tidak membiarkan perbezaan pandangan meretakkan hubungan dan menghakis kepercayaan yang terbina sejak sekian lama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Peringatan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disebabkan beliau melihat wacana awam pada masa kini semakin mudah diganggu emosi dan hasutan.
Katanya, Tahun Baharu Cina yang disambut sentiasa mengingatkan kita tentang kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.
“Pada tahun Kuda ini, ketekunan, keberanian dan semangat juang diraikan seiring tuntutan untuk bertindak dengan kebijaksanaan serta kesederhanaan.
“Confucius mengingatkan kita bahawa keharmonian lahir apabila manusia saling menghormati dan memahami satu sama lain.
“Inilah asas yang memungkinkan masyarakat berbilang kaum hidup bersama secara aman walaupun berbeza latar budaya dan kepercayaan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Peringatan itu dibuat Perdana Menteri sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut seluruh masyarakat Tionghua, esok.
Beliau berkata, perbezaan dalam kalangan masyarakat majmuk harus menjadi ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog, rundingan dan kebijaksanaan.
“Saya yakin Malaysia akan terus melangkah gagah apabila keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama. Semoga tahun ini, seluruh rakyat Malaysia dilimpahkan dengan kesejahteraan dan kemakmuran,” katanya.-UTUSAN









