JAC: Badan Peguam mohon kebenaran cabar lantikan Ahmad Terrirudin

JAC: Badan Peguam mohon kebenaran cabar lantikan Ahmad Terrirudin

AHMAD TERRIRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh yang juga bekas Peguam Negara sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

JAC dianggotai oleh sembilan anggota yang mana empat daripadanya adalah anggota tetap terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah Sarawak.

Baki lima anggota suruhanjaya itu terdiri seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang tidak menganggotai jawatan ex-officio dan empat orang tokoh terkemuka yang bukan anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan.

Permohonan tersebut difailkan pada 12 Februari lalu melalui firma guaman, Tetuan Clinton Tan di Mahkamah Tinggi di sini menikut Aturan 53 Kaedah 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Pendengaran permohonan kebenaran itu ditetapkan pada 16 Mac ini di hadapan Hakim Datuk Aliza Sulaiman.

Badan Peguam selaku pemohon menamakan Ahmad Terrirudin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, JAC dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonan yang difailkan, Badan Peguam memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Perdana Menteri melantik Ahmad Terrirudin sebagai anggota JAC dan perisytiharan bahawa keputusan pelantikan itu adalah menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah.

Pemohon juga memohon perintah mandamus bagi mengarahkan Perdana Menteri melaksanakan prerogatif melantik seorang anggota JAC kelima selaras dengan peruntukan undang-undang Malaysia dan Akta JAC.

Badan Peguam turut memohon perintah mandamus yang memerintahkan responden ketiga iaitu JAC untuk menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terhadap Ahmad Terrirudin dan keputusan RCI itu didedahkan kepada umum.

Turut dipohon ialah perintah mandamus memerintahkan JAC mengeluarkan, memberikan atau mendedahkan sesalinan minit mesyuaratnya yang telah diadakan pada 16 Mei lalu kepada Badan Peguam dalam tempoh tujuh hari dari tarikh permohonan kebenaran dibenarkan oleh mahkamah.

Pada Disember 2025, Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Akta JAC memberikan kuasa prerogatif kepada Perdana Menteri untuk melantik anggota kelima daripada Hakim Mahkamah Persekutuan tanpa perlu merujuk suruhanjaya itu.

Wan Ahmad Farid berkata, keputusan Perdana Menteri untuk melantik Ahmad Terrirudin sebagai anggota JAC adalah dalam bidang budi bicaranya dan tidak boleh dicabar dan tiada siapa termasuk beliau boleh mempersoalkan keputusan itu.

Ahmad Terrirudin yang juga bekas Peguam Negara dilantik sebagai anggota JAC untuk tempoh dua tahun oleh Perdana Menteri menurut perenggan 5(1)(e) Akta JAC berkuatkuasa mulai 15 November 2025 hingga 14 November 2027.

Beliau mengisi kekosongan keanggotaan JAC selepas Hakim, Datuk Zabariah Mohd. Yusof bersara wajib pada usia 66 tahun (selepas lanjutan masa perkhidmatan selama enam bulan), November tahun lalu.

Majlis Peguam sebelum ini menuntut kerajaan bersikap telus di sebalik pelantikan Ahmad Terrirudin ke dalam JAC.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN