Isu tuntutan 40 peratus Sabah dibincang dalam mesyuarat MTPMA63, Kabine

Isu tuntutan 40 peratus Sabah dibincang dalam mesyuarat MTPMA63, Kabinet

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Mesyuarat Kabinet Persekutuan pada 23 Februari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) baharu negeri, Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau mendengar luahan hati pemimpin tertinggi parti berkenaan perkara terbabit dalam satu mesyuarat yang diadakan, semalam.

“Saya mendengar luahan daripada pimpinan parti yang begitu prihatin dan meminta supaya isu ini dapat diselesaikan mengikut garis masa yang telah dibuat oleh pihak mahkamah.

“Saya mendengar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan khusus sebagai urus setia kepada Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, akan membawa luahan hati ini kepada MTPMA63 dan Mesyuarat Kabinet akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, , semalam.

Mustapha berkata, bagi memantapkan proses perundingan MA63i, Kabinet telah bersetuju untuk melantik dua menteri daripada Sabah ke dalam jawatankuasa induk.

Menurutnya, dua menteri terbabit adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

“Kedua-duanya akan hadir. Satu jawatankuasa teknikal akan dibuat pada 23 Februari ini melibatkan wakil di peringkat Persekutuan, wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Jawatankuasa teknikal ini akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya.

Ditanya mengenai status terkini ‘lost years’ merujuk kepada ketiadaan pemberian bayaran itu oleh kerajaan Persekutuan kepada kepada Sabah dari tahun 1974 sehingga 2021, beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan perkembangan berhubung perkara terbabit daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Ada jawatankuasa terutamanya daripada MOF yang akan memaklumkan perkembangan tentang isu itu. Kita akan mendengar laporan mereka untuk perbincangan selanjutnya.

“Setakat ini sudah ada dua mesyuarat peringkat jawatankuasa dipengerusikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk bincang isu ini.

“Mereka membentuk satu jawatankuasa khas bincang perkara berkaitan termasuk ‘lost years’ dan kita akan dengar daripada mereka nanti,” katanya.

Pada 17 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melebihi kuasa Perlembagaannya apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih negeri bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Susulan itu, mahkamah memerintahkan supaya semakan mengenai perkara itu mesti diadakan dalam tempoh 90 hari dan satu persetujuan mesti dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN