PUTRAJAYA: Sebarang isu berkaitan rumah ibadat perlu ditangani secara berhemah, berfakta dan berlandaskan undang-undang, tanpa mengheret sentimen perkauman atau keagamaan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Kementerian Perpaduan Negara menegaskan, urusan berkaitan pembinaan, pengubahsuaian dan pematuhan rumah ibadat adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Katanya, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengawal selia struktur bangunan, kebersihan serta memastikan tiada pembinaan rumah ibadat dilakukan tanpa kebenaran di kawasan pentadbiran masing-masing.
“Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) pula berfungsi mengawal aspek teknikal pembinaan dan keselamatan struktur bangunan rumah ibadat demi menjamin keselamatan awam.
“Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang dilaksanakan melalui PLANMalaysia bagi tujuan perancangan pengezonan dan penetapan tapak khusus rumah ibadat dalam Rancangan Tempatan,” katanya hari ini.
KPN kekal komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam memperkukuh kefahaman, dialog dan keharmonian antara penganut agama.
Pada masa sama, KPN menghormati bidang kuasa agensi berkaitan serta keputusan pihak berkuasa yang berlandaskan undang-undang.
“Semua pihak diseru agar menghormati proses perundangan, mengelakkan spekulasi serta mengekalkan semangat saling menghormati demi memelihara perpaduan nasional dan kestabilan negara,” katanya. – UTUSAN










