PUTRAJAYA: Jemaah Menteri menyambut baik kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung penyelarasan proses bagi menguruskan isu rumah-rumah ibadat yang tidak mendapat kelulusan pemilik tanah persendirian atau hak kerajaan.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum mengenai Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor yang diadakan semalam.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa proses tindakan bukan oleh orang perseorangan tetapi bersama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), maka Jemaah Menteri menyambut baik kenyataan yang dibuat Menteri Besar Selangor mengenai penyelarasan proses terutama di peringkat PBT untuk menguruskan isu ini.
“InsyaAllah ia akan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di Kementerian Komunikasi hari ini.
Terdahulu menerusi kenyataan selepas mesyuarat MKN Selangor, Amirudin berkata, antara langkah yang perlu diambil adalah pemilik perlu membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan seterusnya proses pendakwaan dimulakan sekiranya kesalahan pencerobohan dapat dibuktikan.
Menurut beliau, notis perlu dihantar kepada pihak penceroboh dan perkara terbabit dimaklumkan secara rasmi kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang mana Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) dipengerusikan Pegawai Daerah juga diaktifkan di semua daerah di Selangor.
Jelasnya, JKD akan bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak berkepentingan termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM dan PBT bagi mencari penyelesaian yang munasabah.
Semalam, Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak berhak mengambil tindakan sendiri di luar kerangka undang-undang dalam isu berkaitan rumah ibadat. – UTUSAN










