PETALING JAYA: Seorang lelaki dikenali sebagai Cikgu Chandra, ditahan susulan memuat naik kenyataan berbaur sensitif yang boleh mengganggu ketenteraman awam di Facebook, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima satu laporan dibuat seorang lelaki berhubung perkara itu selepas melihat paparan Facebook dimuat naik penama, Cikgu Chandra pada 10 malam, kelmarin.
Katanya, kenyataan itu menyatakan bahawa komuniti India tidak bertamadun. Ia juga menyentuh isu kuil haram yang jelas menghasut, menghina serta menyakitkan hati dengan niat mengganggu ketenteraman awam.
“Ia sekali gus berpotensi mendorong sesuatu tindakan di luar kawalan undang-undang.
“Suspek dipercayai terbabit dalam kes itu dikenali sebagai Cikgu Chandra ditahan pada 3 petang dan sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk memuat naik pautan Facebook seperti yang ditularkan turut dirampas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan suspek mengaku memuat naik hantaran berkenaan kerana berasa tidak berpuas hati dan untuk menarik perhatian pengikut-pengikutnya di media sosial.
Jelasnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya.
Fadil menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau memuat naik hantaran sensitif yang menyentuh isu 3R dan boleh mengganggu keamanan serta keselamatan awam.
“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang cuba memainkan sentimen-sentimen untuk meraih populariti dan meraih sokongan dari mana-mana pihak,” katanya.- UTUSAN










