Isu dadah: Diana Danielle tidak tahu apa-apa, harap bukan Farid Kamil - Utusan Malaysia

Isu dadah: Diana Danielle tidak tahu apa-apa, harap bukan Farid Kamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Diana Danielle mengaku tidak mengetahui sebarang perkara berhubung dakwaan mengaitkan bekas suaminya, Farid Kamil, dengan penahanan seorang pelakon lelaki terkenal yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah, baru-baru ini.

Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 34, berkata, dia hanya menyedari perkara tersebut selepas diajukan soalan oleh pihak media dan menegaskan tidak mempunyai maklumat lanjut mengenainya.

“Sejujurnya, saya memang tidak tahu apa-apa. Apa yang boleh saya katakan, saya mendoakan yang terbaik buat dia.

“Pada masa sama, saya berharap kami dapat terus mengamalkan gaya keibubapaan bersama (co-parenting) dengan baik. Itu adalah keutamaan saya ketika ini,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran produk Numinara di sini, Khamis.

Pelakon filem Imaginur itu turut menegaskan hasratnya untuk melihat Farid terus berjaya, khususnya demi kesejahteraan dua cahaya mata mereka.

“Saya sentiasa mahukan yang terbaik untuk dia dan berharap dia terus berjaya dalam kerjaya. Apabila kita membesarkan anak-anak dengan baik, ia akan memberi kesan positif kepada mereka.

“Saya tidak boleh mengulas lanjut kerana tidak mengetahui perkara sebenar, namun saya berharap dakwaan itu tidak benar,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai hubungan Farid dengan anak-anak, Diana memaklumkan bahawa bekas suaminya itu masih kerap meluangkan masa bersama mereka hampir setiap minggu apalagi anak sulung mereka, Muhammad, 13, menghidapi lumpuh di bahagiab wajah baru-baru inu.

“Dia sangat rapat dengan anak-anak. Mereka sering berjumpa pada hujung minggu dan juga hari biasa. Hubungan itu masih sama seperti dahulu.

“Anak-anak memerlukan kehadiran seorang bapa dan saya sentiasa menyokong hubungan mereka kerana ia amat penting dalam proses tumbesaran,” ujarnya.

Terdahulu, polis mengesahkan penahanan seorang pelakon lelaki terkenal selepas didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing.

Kertas siasatan sudah pun dihantar kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, identiti pelakon terbabit tidak didedahkan, namun terdapat spekulasi dalam kalangan warganet yang mengaitka pelakon itu dengan nama Farid Kamil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN