Irmohizam dilantik Ahli Lembaga Pengarah UniSIRAJ - Utusan Malaysia

Irmohizam dilantik Ahli Lembaga Pengarah UniSIRAJ

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan menyampaikan surat pelantikan kepada Irmohizam Ibrahim sebagai Ahli Lembaga Pengarah UniSIRAJ. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengarah Urusan Kumpulan, World Trade Centre Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menerima pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.

Pelantikan tersebut mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua Majlis
Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Watikah pelantikan itu disampaikan baginda semasa Majlis Iftar Jamaie Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa di bawah MAIPs yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada 25 Februari lalu.

Berangkat sama dalam majlis berkenaan, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menurut Irmohizam, beliau amat berbesar hati dan menjunjung kasih atas perkenan Raja Muda Perlis bagi pelantikan tersebut.

“Amanah ini akan saya laksanakan dengan penuh tanggungjawab dalam memperkukuh tadbir urus, kelestarian serta perancangan strategik UniSIRAJ.

“Hasrat saya adalah untuk membantu memacu UniSIRAJ sebagai institusi progresif yang menghubungkan pendidikan, industri dan pembangunan masyarakat.” katanya.

Sebagai rekod, UniSIRAJ merupakan entiti di bawah tadbir urus MAIPs yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan pendidikan Islam dan kecemerlangan institusi di negeri ini.

Irmohizam turut menyatakan hasrat bagi mengangkat nama UniSIRAJ ke persada antarabangsa serta menjadikannya sebuah institusi yang lebih dinamik dan progresif.

“Saya berharap dapat memperkukuh keterlihatan local dan global UniSIRAJ, memperluas jaringan kerjasama strategik serta meningkatkan peranannya sebagai pusat ilmu
yang menggabungkan kecemerlangan akademik dengan keperluan industri semasa,” katanya.

Katanya, UniSIRAJ berpotensi muncul sebagai institusi berdaya saing yang bukan sahaja menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara, malah mampu berdiri megah di persada dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN