India puji Malaysia jaga komuniti, pekerja India

India puji Malaysia jaga komuniti, pekerja India

ANWAR Ibrahim dan Narendra Modi ketika sidang akhbar bersama di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: India memuji langkah Malaysia dalam menjaga kebajikan komuniti serta pekerja India yang berada di negara ini, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata, hampir tiga juta diaspora India di Malaysia merupakan ‘jambatan hidup’ yang menghubungkan kedua-dua negara dan menjadi salah satu kekuatan terbesar hubungan bilateral.

Menurut beliau, inisiatif seperti Perjanjian Keselamatan Sosial bagi pekerja India di Malaysia, penambahbaikan kemudahan visa untuk pelancongan, serta pelaksanaan sistem pembayaran digital India (UPI) di Malaysia, akan memudahkan kehidupan rakyat kedua-dua negara.

“Langkah-langkah yang diambil bagi kebajikan mereka memberikan dimensi kemanusiaan yang kukuh kepada hubungan dua hala ini.

“Sesungguhnya, sesebuah perkongsian hanya menjadi kukuh apabila manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Modi menegaskan, hubungan antara India dan Malaysia amat istimewa, dengan rakyat kedua-dua negara menjalin hubungan erat dan berkekalan sejak berabad-abad lamanya.

Katanya, Malaysia kini merupakan negara kedua terbesar di dunia yang mempunyai penduduk berketurunan India.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan dua hala kita telah mencapai momentum baharu, dengan sumbangan besar daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerjasama dalam bidang tenaga, infrastruktur dan pembuatan telah diperkukuh, manakala pelaburan bersama dalam ekonomi digital, bioteknologi dan teknologi maklumat terus meningkat,” ujarnya.

Dalam bidang keselamatan, Modi menekankan bahawa kedua-dua negara akan memperkukuh kerjasama dalam memerangi keganasan, perkongsian risikan, keselamatan maritim, dan pertahanan.

Beliau turut menekankan peluang dalam bidang kesihatan, pertanian serta keselamatan makanan selaras dengan kemajuan kecerdasan buatan dan teknologi digital.

Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang diadakan semasa lawatan itu, katanya, akan membuka peluang baharu dalam perdagangan dan pelaburan serta memacu transformasi ekonomi melalui penjajaran strategik.

“India dan Malaysia juga disatukan oleh kecintaan terhadap bahasa dan budaya Tamil, dengan komuniti Tamil di Malaysia yang kukuh dalam pendidikan, media dan kebudayaan.

“Perjanjian audio-visual yang dimeterai dijangka merapatkan lagi hubungan melalui filem dan muzik, khususnya perfileman Tamil,” katanya.

Beliau turut menyentuh usaha memperluas pertukaran universiti, kerjasama syarikat pemula (startup) serta pembangunan kemahiran dalam kalangan belia.

Modi menegaskan, rantau Indo-Pasifik kini muncul sebagai enjin pertumbuhan ekonomi global, dan India bersama Malaysia serta ASEAN komited mempromosikan pembangunan, keamanan dan kestabilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN