KAJANG: Tindakan keras akan dikenakan terhadap majikan dan warga tempatan yang menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi menjalankan aktiviti jual beli di bazar Ramadan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, pihak Jabatan Imigresen (JIM) tidak akan berhenti melakukan operasi bagi membanters kebanjiran warga asing di negara ini walaupun pada bulan Ramadan.
Menurutnya, JIM akan tetap melakukan operasi penguatkuasaan serta pemantauan sepanjang bulan itu di seluruh negara agar bazar Ramadan bebas daripada lambakan pekerja warga asing atau pendatang tanpa izin (PATI).
“Untuk majikan di luar sana kita tidak akan berkrompomi, jikalau kita mendapati mereka terlibat menggaji serta melindungi PATI sebagai pekerja di bazar Ramadan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen.
“Penguatkuasaan kita akan teruskan dan tidak akan berhenti walaupun pada bulan Ramadan. Kita akan mempergiatkan pemeriksaan di kawasan-kawasan bazar Ramadan bagi memastikan ia bebas daripada PATI,” katanya dalam sidang akhbar berkenaan Operasi Selera di Sungai Long semalam.
Lokman Effendi menyatakan sejak 1 Januari sehingga semalam, sebanyak 1,700 operasi telah dijalankan oleh pihak JIM di seluruh negara.
Menerusi laporan diterima, seramai 6,200 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen selepas 27,000 warga asing diperiksa sepanjang operasi dijalankan.
“Dalam tempoh sama, seramai 230 majikan ditahan atas pelanggaran peruntukan Akta Imigresen, manakala jumlah warga asing tertinggi yang ditahan melibatkan rakyat Myanmar, Indonesia, Bangladesh dan China,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi Ops Selera yang dijalankan pada malam tadi, seramai 51 warga asing ditahan selepas kawasan pekerjaan mereka di Sungai Long digempur.
Warga asing terbabit ditahan selepas JIM menjalankan pemeriksaan terhadap 463 individu di kawasan terbabit.
Lokman Effendi berkata, seramai 40 lelaki dan 11 wanita ditahan dan kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kebanyakan tahanan ditemui bekerja di premis perniagaan, khususnya sebagai pelayan restoran, selain ada yang berada di premis lain bagi tujuan sama.
“Sebahagian tahanan memiliki permit pekerjaan di sektor lain, contohnya perladangan, namun mereka menyalahgunakannya dengan bekerja sebagai pelayan dan aa juga yang telah overstay atau melebihi tempoh dibenarkan di negara ini,” katanya. – UTUSAN










