KOTA TINGGI: Kebakaran hutan berlaku di Bio Desaru di sini melibatkan kawasan berkeluasan 28.3 hektar, sejak semalam.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Soleh Nasir berkata, kebakaran dipercayai bermula kira-kira pukul 9.16 pagi.
Katanya, seramai 15 anggota berserta tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kira-kira 57 peratus daripadanya berjaya dipadamkan setakat ini.
“Kawasan hutan tersebut berkeluasan 404.68 hektar dengan kebakaran berlaku melibatkan 28.3 hektar. Setakat pukul 12 tengah hari tadi, 57 peratus daripada keluasan itu berjaya dipadam.
“Selain 15 anggota, kerja pemadaman turut dibantu tiga jentera termasuk 20 hos serta sebuah jentolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Soleh berkata, pemantauan udara mendapati api semakin berkurangan, namun kepulan asap masih tebal susulan terdapat tanah gambut dan tunggul kayu terlibat.
“Kira-kira empat hektar daripada kawasan terbakar merupakan tanah gambut. Pemantauan berterusan sedang dibuat serta kerja-kerja pemadaman masih dijalankan,” katanya. – UTUSAN









