TEMERLOH: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) hari ini melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) secara serentak di lima negeri sebagai langkah penguatkuasaan berimpak tinggi bagi membanteras kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Pelaksanaan sulung di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 itu melibatkan Kedah, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Negeri Sembilan, Johor dan Pahang, sekali gus menandakan pendekatan baharu yang lebih bersifat restoratif dan mendidik berbanding hukuman denda semata-mata.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, pelaksanaan PKM membawa mesej pencegahan yang jelas kepada masyarakat selain membentuk sikap tanggungjawab dan kesedaran terhadap kebersihan awam.
“PKM dilaksanakan secara terkawal, beretika dan mematuhi prosedur undang-undang tanpa menjejaskan maruah individu terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di Pahang, dua pesalah berusia antara 26 tahun hingga 45 tahun diperintahkan mahkamah menjalani hukuman tersebut di Jalan Lurah Semantan, di sini sebagai fasa pertama pelaksanaan.
Pesalah pertama berusia 45 tahun dikenakan denda RM600 dan boleh dipenjarakan selama sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Mahkamah turut memerintahkan beliau menjalani PKM selama enam jam dalam tempoh enam bulan, iaitu satu jam sehari selaras Seksyen 77A(1) Akta 672.
Pesalah kedua berusia 26 tahun pula didenda RM300 atau berdepan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar. Beliau juga diperintahkan menjalani PKM selama enam jam dalam tempoh enam bulan mengikut peruntukan sama.
Sepanjang pelaksanaan, kedua-dua pesalah ditugaskan menyapu, mengutip sampah dan membersihkan longkang di kawasan awam.
“Setiap pelaksanaan PKM dipantau rapi pegawai penguat kuasa SWCorp dengan penekanan terhadap aspek keselamatan dan kebajikan pesalah termasuk penyediaan vest keselamatan dan pelitup muka,” katanya. – UTUSAN










