KUALA LUMPUR:Tindakan terhadap bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin telah diputuskan secara tegas mengikut peruntukan Perlembagaan parti.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagaimanapun mereka yang terlibat masih boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari selaras dengan prosedur yang telah ditetapkan.
Katanya, tindakan pemecatan itu juga dibuat berdasarkan kaedah dan mekanisme yang termaktub dalam perlembagaan tanpa pengecualian sebagaimana tertakluk kepada peraturan serta peruntukan parti.
“Mereka boleh merayu dalam tempoh 14 hari dan terpulang kepada mereka untuk membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan sebab kita ada kaedah untuk menangani krisis yang berlaku.
“Semua ahli tidak terlepas daripada Perlembagaan parti,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas pimpinan Bersatu di kediaman Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, hari ini.
Semalam, Hamzah dipecat Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 Perlembagaan parti berkuat kuasa 13 Februari 2026 (Jumaat) kerana dikatakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.- UTUSAN










