PUTRAJAYA: Kerjasama ekonomi antara Malaysia dengan India yang terjalin sejak 1957 diperkukuh melalui penggunaan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan dan pelaburan dua hala.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Reserve Bank of India (RBI) bekerjasama bagi memudahkan penggunaan ringgit dan rupee dalam perdagangan serta pelaburan.
Beliau berkata, perdagangan kekal sebagai tonggak utama hubungan kedua-dua negara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kian pesat.
Selain itu, perkembangan perdagangan global yang memberangsangkan juga memainkan peranan.
Anwar berkata, Malaysia melihat potensi besar untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dengan India melebihi nilai perdagangan dua hala sebanyak AS$18.59 bilion yang dicapai tahun lalu.
“Antara perkembangan penting yang dicapai ialah keputusan untuk menggunakan mata wang tempatan sejauh yang boleh dalam urusan perdagangan dan pelaburan.
“Kemajuan serupa turut dicapai dalam bidang keterhubungan digital, tenaga dan sektor semikonduktor,” katanya dalam sidang akhbar bersama sempena lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana di sini, semalam.
Modi diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
Ketibaan Modi pada pukul 9 pagi itu disambut Anwar dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Modi kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RRD) diketuai Mejar Muhamad Nur Addeen Mustaza.
Anwar berkata, pertemuan dan pertukaran pandangan disifatkan amat penting, selain memainkan peranan besar dalam memaju dan memperkukuh hubungan Malaysia-India.
Katanya, hubungan sejak 1957 itu dipertingkatkan ke tahap perkongsian strategik komprehensif pada 2024.
“Hubungan sejarah yang mendalam, ikatan rakyat ke rakyat yang kukuh serta kerjasama ekonomi yang semakin berkembang dijangka terus memacu kerjasama lebih erat merentasi pelbagai sektor.
“Perkongsian Malaysia-India benar-benar bersifat menyeluruh dan kedua-dua pihak yakin bahawa dengan muhibah serta komitmen kukuh kerajaan masing-masing, termasuk menteri luar, semua inisiatif yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara pantas dan berkesan,” katanya.
Kedua-dua negara turut menyaksikan pertukaran sebanyak 11 dokumen termasuk memorandum persefahaman (MoU) yang melangkaui kerangka hubungan dua hala konvensional dan mencerminkan tekad bersama untuk memperdalam kerjasama, termasuk dalam bidang sivil, perundangan dan keselamatan.
Selain itu, pencegahan dan pembanterasan rasuah juga antara 11 dokumen kerjasama yang dimeterai antara Malaysia dengan India, selain kerjasama membabitkan urusan pengurusan bencana. – UTUSAN









