KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sedia menggunakan helikopter untuk kerja-kerja memadam kebakaran terbuka sekiranya diperlukan pada musim kemarau.
Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan berkata, langkah itu sebahagian daripada tindakan proaktif bagi melakukan operasi di kawasan sukar diakses sebelum api merebak.
“Kita tidak hanya menunggu panggilan kecemasan. Sekiranya perlu, helikopter digerakkan untuk membantu operasi pemadaman terutama di kawasan panas) yang jauh dan sukar dicapai dengan jentera darat.
“Semua balai bomba dan penyelamat di seluruh negeri dengan 656 anggota diarahkan sentiasa bersiap sedia menghadapi musim kemarau,” katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Ibu Pejabat JBPM, Tunjong di sini hari ini.
Farhan Sufyan berkata, sebanyak 17 kes kebakaran hutan berlaku di Kelantan dalam tempoh lebih sebulan susulan cuaca panas melanda kebanyakan kawasan bermula awal Januari lalu.
Katanya, statistik itu boleh dianggap berada pada tahap membimbangkan kerana hanya sebanyak 20 kes kebakaran hutan dilaporkan sepanjang tahun lalu.
“Sebanyak sembilan kes membabitkan kebakaran ladang dan kebun dilaporkan sejak Januari lalu berbanding 10 kes sepanjang 2025. Kebakaran belukar dan lalang pula 195 kes dengan 258 kebakaran berlaku pada tahun lalu,” katanya. – UTUSAN










