Guang Eng didakwa terima beg RM1 juta - saksi

Guang Eng didakwa terima beg RM1 juta – saksi

LIM Guan Eng hadir ke mahkamah sekitar jam 9.30 pagi bagi perbicaraan projek terowong dasar laut di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa Lim Guan Eng memang menerima sebuah beg mengandungi wang RM1 juta ketika masih memakai pakaian rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Perkara itu dinyatakan saksi pendakwaan ke-37, ahli perniagaan, G. Gnanaraja yang menafikan cadangan peguam bela, Ramkarpal Singh bahawa beg berkenaan tidak pernah diserahkan kepada tertuduh.

Ramkarpal dalam soal balas berkata, adalah tidak masuk akal untuk Guan Eng pergi ke Publika, Hartamas pada hari Ahad dalam keadaan sibuk dengan memakai pakaian rasmi Ketua Menteri sambil memegang beg yang didakwa mengandungi wang RM1 juta.

“Ini satu perkara yang tidak pernah berlaku, betul?” soal beliau.

Bagaimanapun, Gnanaraja menjawab: “Memang tak masuk akal, tapi sudah berlaku.”

Saksi itu sebelum ini memberi keterangan bahawa pada 20 Ogos 2017, beliau menyerahkan sebuah beg hitam berisi RM1 juta kepada Guan Eng ketika menghantar Ahli Parlimen Bagan itu ke Publika.

Menurutnya, Guan Eng kemudian mengambil beg berkenaan dan menepuk bahu Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) dan berada di tempat duduk pemandu.

Gnanaraja turut mengakui itu merupakan kali pertama beliau bertemu Guan Eng dan tiada mana-mana pegawai lain berada bersama tertuduh ketika kejadian.

Beliau juga bersetuju tidak mengetahui ke mana Guan Eng pergi selepas keluar dari kenderaan dan tidak mengingati secara khusus lokasi pertemuan sama ada di dalam atau luar pusat beli-belah, sebelum menjelaskan ia berlaku di luar bangunan, di pekarangan jalan raya.

Saksi turut mengesahkan bahawa selepas insiden tersebut, beliau tidak mempunyai sebarang hubungan lagi dengan Guan Eng.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 3 Mac ini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan projek sama sebagai balasan membantu syarikat berkenaan.

Selain itu, Guan Eng turut berdepan dua pertuduhan melupuskan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta kepada sebuah syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN