PETALING JAYA: Kadar pengisian penuntut di 48 Hospital Latihan Siswazah (HLS) di seluruh negara kini berada pada tahap membimbangkan apabila hanya 53 peratus kekosongan diisi sehingga Februari ini.
Jumlah itu merangkumi 6,500 slot daripada kapasiti sebenar iaitu 12,198 sehingga mengakibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) terus mewarisi cabaran struktur serta ketidakseimbangan agihan tenaga di peringkat nasional terus berlarutan.
KKM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya kini memantau rapi trend penurunan jumlah graduan perubatan yang memasuki pasaran kerja kerana penyusutan itu mencetuskan reaksi berantai kepada kadar pengisian perjawatan di fasiliti kesihatan awam.
Katanya, cabaran itu menjadi lebih kritikal bagi Lantikan Bilangan 1 Tahun 2026 kerana walaupun kesemua 579 graduan yang memohon telah dilantik, jumlah itu hanya mengisi sekitar 10 peratus daripada kekosongan slot nasional.
“Penurunan pengisian slot PPS telah memberi impak langsung kepada keupayaan sistem untuk membekalkan tenaga kerja yang mencukupi. Walau bagaimanapun, KKM ingin menegaskan kembali prinsip asas latihan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS).
“Selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 25 Julai 2025, penempatan PPS adalah bertujuan untuk melengkapkan kompetensi klinikal melalui latihan berstruktur.
“PPS bukan berfungsi sebagai tenaga kerja tambahan (extra pair of hands) untuk mengisi kekosongan perjawatan atau menampung beban perkhidmatan,” katanya.
Menurut KKM, cabaran dihadapinya itu memerlukan penyelesaian tuntas, menyeluruh dan bukan sekadar bersifat sementara, justeru, pihaknya sedang giat melaksanakan dan meneliti beberapa inisiatif.
Katanya, inisiatif tersebut adalah transisi penamatan Sistem Doktor Kontrak secara berfasa dengan menyasarkan untuk menamatkan sistem tersebut secara berperingkat bagi Pegawai Perubatan demi memberikan jaminan kerjaya lebih mampan, mengambil kira unjuran keupayaan dan beban fiskal negara.
“Memandangkan pola pilihan calon sering menyebabkan ketidakseimbangan agihan, dasar akan menetapkan bahawa semasa dalam tempoh khidmat wajib, pegawai akan ditempatkan secara strategik untuk mengisi keperluan kritikal di negeri atau fasiliti kesihatan yang berbeban tinggi.
“KKM komited memastikan kualiti latihan siswazah untuk PPS terpelihara. Fokus utama adalah kepada pencapaian objektif pembelajaran yang menghasilkan pegawai perubatan yang kompeten dan selamat, bukan untuk memenuhi kuota pegawai perubatan struktur latihan akan terus ditambah baik bagi memastikan setiap PPS mendapat pendedahan klinikal yang mencukupi tanpa kompromi.
“Kebajikan petugas kekal menjadi agenda utama kementerian. KKM sedang mempergiatkan usaha bersama agensi pusat untuk menambah baik struktur insentif kewangan serta kemudahan bagi petugas yang terlibat dengan mobilisasi dan penempatan di kawasan berbeban tinggi atau pedalaman,” katanya.
Menurut kenyataan itu, ia merangkumi kajian semula kadar elaun agar kekal kompetitif, serta komitmen berterusan untuk menaik taraf fasiliti kuarters dan persekitaran kerja demi memastikan keselesaan dan motivasi petugas sentiasa terpelihara.
“KKM akan terus berusaha memperkukuhkan strategi pengagihan, meningkatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi meningkatkan unjuran dan penghasilan graduan, serta meneroka langkah-langkah tambahan melalui sesi libat urus bersama agensi pusat.
“Ini adalah demi memastikan sistem kesihatan awam negara kekal selamat, berkesan dan mampan, khususnya di fasiliti yang menanggung beban perkhidmatan yang tinggi,” katanya. – UTUSAN









