Gencatan politik dalam Bersatu sukar dicapai

Gencatan politik dalam Bersatu sukar dicapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat sukar untuk mencapai ‘gencatan politik’ antara mereka, sebaliknya dibimbangi serangan antara akan mereka terus memburuk.

Saintis politik Universiti Sunway, Prof. Dr. Wong Chin Huat berkata, Bersatu sememangnya memerlukan gencatan tetapi ia mungkin sukar dicapai dengan dua ahli Parlimen sudah dipecat dan satu pemimpinnya lagi digantung.

Kata beliau, tiga wakil rakyat berkenaan juga dikaitkan dengan kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Ia nyata memberi kesan daripada segi imej dan jentera, sungguhpun jentera Pas memainkan peranan utama. Pengundi rata-rata tidak suka ketidakstabilan, suka atau tidak suka Kerajaan Madani kini jauh lebih stabil dalam tahun ke empatnya.

“Jika Bersatu gagal memenangi kerusi dalam dua digit atau 10 Parlimen ke atas, kemungkinan besar akan mengikuti jejak parti Semangat 46. Pemimpin-pemimpinnya akan diserap oleh Pas, UMNO dan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, gencatan senjata di peringkat Bersatu perlu diselesaikan terlebih dahulu untuk menoktahkan krisis di peringkat PN.

Katanya, krisis dalaman Bersatu dan ketidakstabilan parti akan memberi kesan pada PN terutamanya dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Tindakan disiplin seperti memecat atau menggantung pemimpin ada pro dan kontra­nya, jika pecat boleh menstabilkan parti kerana ada kala kepimpinan yang tidak sehaluan itu menimbulkan polemik, jadi mereka perlu dipecat dari menggugat parti.

“Tetapi pemecatan kepimpinan juga boleh membawa kesan yang tidak baik jika jumlah penyokong mereka begitu besar kerana mereka boleh memecahkan parti apabila mereka dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata, krisis itu tidak sepatutnya ditangani melalui tindakan tegas dari parti tetapi memperbanyakkan perbinca­ngan secara terbuka antara seluruh kepimpinan bagi membina semula hubungan.

“Jika Bersatu terus bergolak, pembangkang akan lemah. Memang Pas ada pengaruh tetapi tanpa PN, pencapaian Pas lebih rendah berbanding bila bergabung dengan Bersatu.

“Jika dengan Bersatu, baru tercetusnya gelombang. Pas sendirian sukar menarik pe­ngundi atas pagar, hanya pe­ngundi tegar sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×