DAKWAAN bahawa Fiqh al-Watan sebagaimana yang dikonseptualkan melalui Jurisprudens Watan bukanlah suatu sumbangan intelektual yang baharu; sebaliknya, telah lama wujud dalam penulisan dan amalan Islam terdahulu, perlu dinilai secara lebih adil dan berdisiplin. Dakwaan ini kelihatan meyakinkan pada pandangan pertama, namun sebenarnya berpunca daripada kekeliruan. Kekeliruan ini berpunca daripada kecenderungan untuk menyamakan kehadiran unsur-unsur ijtihad kontekstual dengan pembentukan satu kerangka jurisprudens yang tersusun dan reflektif.
Hakikat bahawa para fuqaha klasik telah lama menggunakan kaedah seperti taḥqīq al-manāṭ, maṣlaḥah mursalah dan ʿurf ṣaḥīḥ tidak boleh dijadikan asas untuk menafikan keaslian Fiqh al-Watan yang lahir daripada Jurisprudens Watan, kerana kaedah-kaedah tersebut berfungsi sebagai instrumen teknikal dalam usul al-fiqh, bukannya sebagai asas kepada satu kerangka teori atau konsep yang menjadikan watan sebagai subjek analisis utama.
Perkataan watan yang diterjemahkan sebagai tanah air atau tempat kelahiran, adalah berbeza dengan pengistilahan watan yang dikonseptualisasikan oleh Wan Ahmad Fauzi (2013) sebagai aspek kebijaksanaan tempatan yang meliputi peradaban, bahasa, adat resam, falsafah, pemikiran, warisan, pandangan dunia, perlakuan, sifat, dan sikap yang berakar umbi di tempat yang dibahas. Watan berteraskan adat dan keadaan tempatan suatu masyarakat dan kerajaan berkonsepkan ‘di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung’ tanpa meminggirkan fitrah manusia. Ia merangkumi undang-undang, amalan, budaya, resam, takrifan istilah, serta mencerminkan kefahaman tempatan berhubung dengan falsafah dan linguistik. Sifat kewatanan dilanjutkan kepada aspek kemanusiaan yang beragama, yang merupakan zuriat keturunan Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa r.a.
Pengkritik sering berhujah bahawa pengalaman perundangan Islam di Alam Melayu khususnya melalui kod undang-undang kesultanan seperti Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang, dan Undang-Undang Laut Melaka membuktikan bahawa Fiqh al-Watan telah lama diamalkan sebelum ia dirumuskan secara konseptual. Namun, hujah ini gagal membezakan antara amalan sejarah yang bersifat implisit dengan teori jurisprudens yang bersifat eksplisit dan reflektif. Seperti yang ditunjukkan oleh kajian M. B. Hooker, pengharmonisan antara fiqh Syafi‘i, adat Melayu, dan autoriti raja berlaku sebagai keperluan pentadbiran dan kebijaksanaan pemerintahan, bukan sebagai hasil suatu projek intelektual yang sedar untuk membangun disiplin hukum berasaskan watan.
Lebih penting lagi, tidak satu pun daripada penulisan klasik mahupun kajian moden mengenai undang-undang Melayu-Islam yang menjadikan watan sebagai kategori analisis normatif dan epistemik. Literatur terdahulu membincangkan hukum dari sudut kesahihan fiqh, penerimaan adat, atau keberkesanan pentadbiran, tetapi tidak pernah merumuskan persoalan prinsip kedaulatan, sistem perlembagaan, sejarah pembentukan negeri, kesinambungan identiti, kelangsungan institusi, dan amanah pemerintahan sebagai elemen intrinsik kepada keberlakuan hukum Islam. Ketiadaan dimensi ini membuktikan bahawa apa yang wujud sebelum ini ialah fiqh yang diaplikasikan dalam sesebuah wilayah, bukan fiqh yang dibangunkan tentang watan itu sendiri.
Dalam hal ini, Fiqh al-Watan yang dibangunkan melalui Jurisprudens Watan memperkenalkan suatu lonjakan teori yang nyata dengan mengalihkan fokus fiqh daripada individu atau kes terasing kepada watan sebagai subjek sistem kehidupan, tadbir urus, dan hukum yang berdaulat. Pendekatan ini menegaskan bahawa hukum Islam tidak boleh difahami secara terpisah daripada sejarah kedaulatan, struktur perlembagaan, dan realiti institusi sesebuah negara. Pendekatan sedemikian tidak pernah dirumuskan secara sistematik dalam penulisan fiqh klasik atau dalam kajian undang-undang Melayu-Islam sebelum ini, sekali gus menafikan dakwaan bahawa Fiqh al-Watan hanyalah pengulangan idea lama dalam bentuk baharu.
Pengkritik juga cenderung berhujah bahawa pengharmonian fiqh Syafi‘i dan adat raja-raja Melayu membuktikan kewujudan awal kerangka Fiqh al-Watan. Namun, hujah ini gagal memahami perbezaan asas antara hasil praktikal dan kesedaran metodologi. Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang, Hukum Kanun Perak, dan Undang-Undang Kedah, misalnya, boleh dianggap sebagai manifestasi praktikal yang selari dengan roh Fiqh al-Watan, tetapi ia tidak disertai dengan perumusan prinsip, batas autoriti ijtihad, atau kerangka analisis yang menjelaskan mengapa dan bagaimana hukum tersebut mengikat dalam konteks kedaulatan watan. Jurisprudens Watan mengisi jurang inilah dengan menukarkan pengalaman sejarah yang bersifat intuitif kepada satu disiplin ilmu yang boleh diuji, dibahaskan, dan dikembangkan secara ilmiah.
Tambahan pula, dakwaan bahawa Fiqh al-Watan telah lama wujud mengabaikan faktor konteks kelahirannya sebagai respons terhadap krisis moden. Ijtihad klasik berkembang dalam persekitaran tamadun Islam yang relatif bersatu dari segi kosmologi hukum dan tidak berhadapan dengan fragmentasi kedaulatan, dominasi epistemologi asing, atau pemisahan antara syariah dan sistem negara moden. Sebaliknya, Fiqh al-Watan lahir daripada kesedaran terhadap cabaran kedaulatan watan, warisan sistem perundangan luar, dan keperluan untuk memulihkan hubungan antara prinsip perundangan Islam dan amanah pemerintahan dalam kerangka negara kontemporari. Dimensi kritikal ini tidak pernah menjadi fokus utama penulisan fiqh terdahulu, sekaligus menegaskan sifat baharu dan keperluan kerangka ini.
Kesimpulannya, dakwaan bahawa Fiqh al-Watan telah lama wujud sebelum ia dirumuskan secara konseptual tidak dapat dipertahankan secara ilmiah. Apa yang wujud sebelum ini ialah unsur-unsur terpisah dan kebijaksanaan sejarah yang belum disatukan dalam satu kerangka jurisprudens yang menyeluruh. Jurisprudens Watan menjadikan watan sebagai pusat analisis undang-undang, penjernihan sejarah dan pembuatan keputusan, lalu merumuskan Fiqh al-Watan sebagai disiplin yang hidup tentang amanah kedaulatan, identiti institusi dan keadilan sebenar. Dalam dunia yang semakin keliru tentang hubungan antara agama, negara dan masyarakat, Fiqh al-Watan hadir bukan untuk mengulang masa lalu, tetapi untuk memandu masa depan dengan akar yang kukuh dan pandangan yang realistik.
DATUK PROFESOR MADYA DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN ialah Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/ Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah










