BALIK PULAU: Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya, Ahad lalu.
Fahmi, 35, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, Fahmi didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya, Nur Hidayah Abd. Jabar, 35, di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas, Pulau Pinang, kira-kira pukul 10 malam pada 22 Februari lalu dan atas kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Pasukan pendakwaan kes tersebut diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Nazran Mohd Sham manakala Fahmi diwakili peguam, Dr. Shamsher Singh Thind.
Ketika prosiding, Nazran menawarkan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.
Shamsher Singh kemudian memohon agar jumlah jaminan yang dikurangkan atas alasan kesalahan tersebut adalah boleh dijamin atau RM1,000.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan sebutan kes ditetapkan pada 28 April depan.
Terdahulu, ketika prosiding awal, Shamsher memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan notis bantahan awal berhubung pengesahan pertuduhan di mahkamah dengan memohon agar satu keputusan dibuat terlebih dahulu sama ada pertuduhan tersebut sah atau sebaliknya sebelum pengakuan tertuduh direkodkan.
“Perkara itu penting bagi memastikan layanan serta implikasi undang-undang terhadap kesalahan yang didakwa, khususnya melibatkan isu sama ada kesalahan tersebut masih berstatus tertunggak atau telah diselesaikan melalui kaedah kompaun.
“Dalam situasi kesalahan telah dikompaunkan oleh mangsa, maka tiada lagi keperluan untuk meneruskan pendakwaan kerana kesalahan berkenaan dianggap telah diselesaikan, sekali gus membawa kepada pembebasan tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun, Nazran berkata, menegaskan pendirian bahawa kes tersebut melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan ia bukannya satu kesalahan yang boleh dikompaun.
“Isu ini dianggap besar kerana ia menyentuh persoalan asas sama ada peruntukan di bawah Seksyen 326A itu sendiri tergolong dalam kategori kesalahan yang boleh diselesaikan secara kompaun. Kesalahan di bawah seksyen tersebut juga mempunyai ciri-ciri tersendiri yang tidak boleh disamakan dengan kesalahan lain yang mungkin layak untuk dikompaun,” katanya.
Majistret kemudian menolak permohonan peguam Fahmi itu dan membenarkan pertuduhan tersebut dibacakan. – UTUSAN










