EPIC OG, Begas Energy meterai kerjasama penyelenggaraan dan ubah suai terminal di Sabah

EPIC OG, Begas Energy meterai kerjasama penyelenggaraan dan ubah suai terminal di Sabah

Muhtar Suhaili (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian bersama Mohd. Safian Saludin sambil disaksikan Che Mohamad Zulkifly Jusoh - IHSAN EPIC BERHAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menerusi anak syarikatnya EPIC OG Sdn. Bhd. (EPIC OG) memeterai perjanjian kerjasama bagi penyediaan perkhidmatan pengurusan projek bersama Begas Energy Sdn. Bhd. (Begas Energy) untuk kontrak Henti Tugas Terancang, Penyelenggaraan dan Pengubahsuaian Terminal (TTAMM) di Sabah. 

Perjanjian yang dimeterai di Kota Kinabalu itu menandakan satu lagi pencapaian syarikat berkenaan dalam memperkukuh kedudukan bagi segmen perkhidmatan hiliran dan terminal di Malaysia, khususnya di Malaysia Timur.

Melalui perjanjian tersebut, EPIC OG melaksanakan pengurusan projek secara bersama yang merangkumi khidmat nasihat teknikal bagi kerja-kerja henti tugas terancang, penyelenggaraan rutin dan pencegahan serta pengubahsuaian terminal. 

Skop perkhidmatan itu dirangka bagi memastikan integriti aset terpelihara dan meningkatkan kebolehpercayaan operasi selaras dengan piawaian industri, keperluan kawal selia dan amalan terbaik kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE). 

Ketika pemeteraian dokumen berlangsung, EPIC OG  diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili bersama Pengurus Besar Tenaga EPIC Berhad. Mohamad Irwan Abdul.

Sementara itu, Begas Energy diwakili oleh Pengarah Urusannya, Mohd. Safian Saludin dan Pengurus Operasi, Shahlan Rusian. Acara tersebut disaksikan oleh Pengerusi EPIC OG Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah EPIC OG yang lain. 

Sementara itu, Muhtar berkata, jalinan kolaborasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan EPIC dalam menyediakan perkhidmatan penyelesaian bersepadu merentasi keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas. 

“Kerjasama strategik ini memperkukuh keupayaan pengurusan projek syarikat dalam melaksanakan skop henti tugas berjadual dan penyelenggaraan yang kompleks. Ia juga mengukuhkan komitmen kami terhadap kecemerlangan operasi, pelaksanaan berdisiplin serta pematuhan piawaian keselamatan tanpa kompromi dalam menyokong infrastruktur tenaga yang kritikal,” katanya.

Dengan gabungan kepakaran EPIC OG dalam pengurusan projek dan perkhidmatan sokongan minyak dan gas bersepadu dengan kecekapan operasi Begas Energy, kerjasama itu dijangka memastikan pelaksanaan kontrak TTAMM yang tersusun, cekap dan berkualiti. 

Selain memastikan penyampaian projek yang efektif, kerjasama berkenaan turut menyokong strategi jangka panjang EPIC Berhad untuk memperluas penglibatan syarikat dalam perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan terminal di samping menyumbang kepada kemapanan serta daya tahan sektor tenaga Sabah dan industri minyak dan gas Malaysia secara keseluruhannya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN