Dulu saya hanya gadis kecil dari Malaysia- Michelle Yeoh terima bintang Hollywood Walk of Fame - Utusan Malaysia

Dulu saya hanya gadis kecil dari Malaysia- Michelle Yeoh terima bintang Hollywood Walk of Fame

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Pelakon kelahiran Malaysia yang juga pemenang Anugerah Akademi (Oscar), Michelle Yeoh, terus melakar sejarah apabila dianugerahkan bintang di Hollywood Walk of Fame dalam kategori Filem (Motion Pictures) pada satu majlis gilang-gemilang, semalam.

Menurut laman rasmi Hollywood Walk of Fame, Yeoh menerima penghormatan tersebut sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya dalam industri perfileman antarabangsa sepanjang lebih tiga dekad penglibatannya sebagai anak seni.

Dalam ucapan penuh emosi, Yeoh mengimbas perjalanan hidupnya daripada seorang gadis kecil di Malaysia kepada bintang bertaraf dunia.

“Dulu saya hanyalah seorang gadis kecil dari Malaysia, duduk di bawah langit yang luas dan pandang bintang yang bersinar di langit. Waktu itu saya percaya saya boleh menjadi seperti bintang itu.

”Tak sangka bintang itu kini ada satu di tanah,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga dan para peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaannya.

“Kepada peminat di seluruh dunia, kepada keluarga iaitu abang saya dan isterinya yang membuat kejutan datang jauh dari Malaysia semalam. Suami saya yang tidak berada di sini kerana ada urusan di India serta keluarga Todt saya, terima kasih kerana memberikan saya  kasih sayang dan menjadi pelabuhan selamat buat saya,” ujarnya.

Majlis berkenaan turut dihadiri pengarah filem, Ang Lee yang pernah bekerjasama dengannya menerusi filem Crouching Tiger, Hidden Dragon serta pengarah Crazy Rich Asians, Jon M. Chu.

Yeoh memulakan langkah di Hollywood menerusi filem Tomorrow Never Dies pada 1997 sebelum mencipta fenomena global melalui Crouching Tiger, Hidden Dragon pada 2000.

Namanya terus kukuh di persada antarabangsa menerusi pelbagai naskhah termasuk Memoirs of a Geisha, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings serta filem yang membawanya meraih Oscar, Everything Everywhere All at Once.

Terdahulu, Yeoh dianugerahkan penghargaan Honorary Golden Bear bagi pencapaian seumur hidup di Festival Filem Antarabangsa Berlin 2026 (Berlinale). -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN