PETALING JAYA : Dua wanita nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, Shah Alam dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.11 tengah hari itu, kedua-dua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat.
Mangsa dikenali sebagai Nur Shahidah Abdul Aziz, 39, mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kepala, manakala Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, cedera di bahagian pinggang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian berkenaan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam digerakkan ke lokasi.
“Seramai 12 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dihantar ke tempat kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba lima minit kemudian dan mendapati sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Xpander telah dihempap pokok tumbang dengan dua wanita tersepit di dalamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi menyelamat segera dijalankan bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan
“Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN










