BACHOK: Kegembiraan 20 ahli keluarga yang bercuti di Pantai Kandis, Jelawat, di sini bertukar mimpi buruk apabila dua beradik termasuk seorang anggota bomba hilang dihanyutkan ombak ketika cuba menyelamatkan anak saudara mereka yang lemas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, Ahmad Badrul Naim Ab. Wahab, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Pulau Pinang dan adiknya, Ahmad Nurudin, 21, hilang selepas anak saudara mereka, Mohd. Ali Al Imran Mohd. Ezad, 12, diselamatkan oleh bapa kanak-kanak tersebut.
Ibu kedua-dua mangsa, Sawidah Mamat, 65 berkata, dia bersama ahli keluarga datang dari Jitra, Kedah menziarah rumah saudara-mara di Pasir Puteh, dekat sini dan berkelah di pantai itu sempena cuti Tahun Baharu Cina.
Katanya, Ahmad Badrul pulang ke kampung bersama isteri dan dua anak kecil manakala Ahmad Nurudin pula baru tamat pengajian Kolej Teknologi Tinggi Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kedah.
“Selain itu, perkelahan itu turut disertai keluarga Mohd. Ali Al Imran dan keluarga ibu saudara mereka dari Beris Lalang di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, bapa kepada Mohd. Ali Al Imran, Mohd. Ezad Abu Hassan, 40 berkata, ketika kejadian, anaknya sedang mandi bersama beberapa ahli keluarga lain sebelum dia melihat Ahmad Nurudin dan anaknya dihanyutkan ombak.
Katanya, menyedari kejadian itu, dia dan Ahmad Badrul Naim pergi kawasan pantai ke pantai untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa.
“Anak saya menjerit meminta tolong sebelum melihat mereka berdua sudah berada di tengah pantai. Saya sempat capai anak dan terus bawa ke pinggir pantai, namun Ahmad Badrul Naim bersama adiknya hilang dihanyutkan ombak,” ujarnya.
Mohd. Ezad memberitahu, ombak di Pantai Kandis petang tadi sangat tinggi dan kuat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, operasi mencari kedua-dua mangsa yang masih hilang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di sepanjang pinggir pantai.
Menurutnya, operasi mencari kedua-dua mangsa dijalankan kira-kira 10 kilometer ke Pantai Tok Bali dan tujuh kilometer ke Pantai Melawi dari lokasi kejadian.
“Operasi mencari kedua-dua beradik itu akan disambung esok sekiranya mereka tidak dijumpai malam ini,” ujarnya. – UTUSAN










