PUTRAJAYA: Pelan Strategik Jabatan Perangkaan 2026-2030 (PSJ DOSM) memberi tumpuan kepada empat strategik utama iaitu statistik inovatif, transformasi digital, pembangunan kapasiti modal insan dan pemerkasaan sistem statistik negara.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, PSJ itu adalah kesinambungan kepada pelaksanaan PSJ 2021-2025 sebelum ini.
Beliau berkata, PSJ terbaharu itu diharap mampu memacu pembentukan budaya kerja berdisiplin, berprestasi tinggi dan berorientasikan hasil, selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“PSJ DOSM 2026- 2030 terus memberi fokus kepada pemodenan sistem statistik, pemerkasaan modal insan, perluasan akses kepada data, pengukuhan tadbir urus data serta pemantapan kerjasama strategik bersama kementerian, agensi dan pihak berkepentingan,” katanya ketika berucap pada Majlis Kick-Off PSJ DOSM 2026- 2030 di sini hari ini.
Katanya, selaras PSJ baharu itu, misi DOSM juga telah diperbaharui iaitu menghasilkan statistik berkualiti, bertepatan masa dan dipercayai untuk menyokong keputusan berasaskan data.
Pada masa sama, Mohd Uzir berkata, pelan baharu itu turut memperkukuh peranan DOSM sebagai peneraju statistik di peringkat antarabangsa, selari kejayaan Malaysia yang buat julung kalinya menduduki tangga pertama di peringkat global dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain.
“Pencapaian ini adalah lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23 sekali gus mencerminkan tahap keterbukaan, kualiti dan kebolehgunaan data rasmi negara yang diiktiraf di peringkat global,” katanya.
Ketika ini, DOSM telah menghasilkan sebanyak 7,335 penerbitan statistik bagi tempoh 2018 hingga 2025 dan jumlah itu meningkat kepada 7,356 penerbitan sehingga Januari 2026.
Seiring agenda pendigitalan, DOSM juga telah menyediakan 37 perkhidmatan digital merangkumi 12 portal data, 15 papan pemuka dashboard dan 10 visual interaktif bagi meningkatkan akses dan kefahaman pengguna terhadap statistik rasmi. – UTUSAN










