KUANTAN: Seni pembuatan keranda tradisional kampung perlu didokumentasi secara sistematik bagi memastikan warisan itu tidak pupus dan terus diwarisi oleh generasi muda.
Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Muhammad Assyifaa Ulhayat Jahidin berkata, usaha itu penting bagi memastikan pengetahuan berkaitan seni pembuatan keranda direkodkan dan dijadikan rujukan buat generasi akan datang.
“Dari sudut sosial, kehilangan keranda tradisional kampung berpotensi menyebabkan pengurangan nilai kerjasama dan muafakat dalam kalangan masyarakat, khususnya pengurusan kematian yang sebelum ini dilaksanakan secara kolektif oleh komuniti setempat.
“Keranda tradisional melambangkan nilai kerjasama dan muafakat masyarakat kampung. Jika tradisi ini hilang, kita bukan sahaja kehilangan seni warisan tetapi semangat gotong-royong yang selama ini menjadi tunjang dalam pengurusan kematian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, pelapis baharu pembuat keranda tradisional yang semakin pupus dan dibimbangi seni serta tradisi tersebut akan hilang bersama usia para pembuatnya yang semakin lanjut.
Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Dr. Aripin Said dilaporkan berkata, seni pembuatan keranda tradisional bukan sekadar kerja tangan, tetapi ia amanah yang diwarisi turun-temurun serta turut melambangkan penghormatan terakhir kepada insan yang kembali ke pangkuan Ilahi.
Muhammad Assyifaa Ulhayat yang juga Ketua Program Ijazah Pengajian Turath (Ilmu Falak) berkata, antara faktor utama menyumbang kepada kekurangan pelapis dalam bidang pembuatan keranda tradisional ialah faktor ekonomi.
Selain itu, katanya, pembuatan keranda tidak memerlukan kepakaran khusus dalam seni ukiran, menyebabkan bidang itu kurang dianggap sebagai satu kemahiran bernilai tinggi sekali gus mengurangkan minat generasi muda.
Ditanya apakah inovasi global seperti keranda mesra alam boleh diterima dalam konteks masyarakat Melayu-Islam di Malaysia, beliau berkata, tiada dalil khusus yang menetapkan jenis keranda yang dibenarkan atau dilarang.
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa prinsip yang perlu diberikan perhatian dalam pembuatan keranda antaranya hendaklah diperbuat daripada bahan yang suci dan tidak bernajis serta tidak dibuat secara berlebihan, iaitu tidak membazir dan tidak dihias secara keterlaluan.
“Prinsip-prinsip ini selari dengan nilai kesederhanaan yang ditekankan dalam ajaran Islam,” katanya yang juga pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang UnIPSAS.
Beliau berkata, dalam perspektif Islam, penggunaan keranda adalah diharuskan berdasarkan beberapa pertimbangan tertentu. –UTUSAN










