Doa Dari Hati diteruskan sebagai program bersiri - Utusan Malaysia

Doa Dari Hati diteruskan sebagai program bersiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program kerohanian Doa Dari Hati akan diteruskan secara bersiri susulan sambutan menggalakkan daripada masyarakat, sekali gus mengukuhkan peranan program itu sebagai platform pengisian rohani berimpak berterusan.

Pengerusi One World Muslimah (OWM), Noor Razlina Noor Mohamed berkata, sambutan terhadap program yang dianjurkan amat memberangsangkan terutama dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri.

“Alhamdulillah, sambutan untuk kedua-dua acara amat memberangsangkan. Doa Dari Hati sememangnya dirancang sebagai program bersiri.

“Ini merupakan program di anjuran bersama Hotel Premiera dan akan dianjurkan dalam bentuk majlis-majlis halaqah bersama Ustazah Najihah. Tarikh dan waktu akan dipilih dengan teliti agar sesuai,” katanya.

Doa Dari Hati yang dihadiri lebih 2,000 penonton merupakan edisi sulung anjuran bersama OWM dan Premiera Hotel Kuala Lumpur serta mendapat tajaan utama daripada Bawal ExcLusive.

Porgram tersebut diserikan dengan kehadiran penceramah popular Indonesia, Oki Setiana Dewi dan Usaz Muhammad Assad serta kehadiran Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri.

Dalam pada itu, Noor Razlina berkata, beberapa program besar lain juga akan dianjurkan pada masa akan datang di bawah penganjuran Premiera Hotel dan kerjasama OWM.

“Kehadiran Timbalan Perdana Menteri ke Program Doa Dari Hati disifatkan sebagai satu penghormatan besar buat OWM sebagai penganjur bersama, selain mencerminkan sokongan kepimpinan negara terhadap inisiatif berteraskan pengisian rohani dan pembangunan jiwa masyarakat.

“Sokongan yang dizahirkan secara langsung itu diharapkan dapat diteruskan secara istiqamah sebagai tanda dukungan berterusan terhadap usaha NGO seperti OWM dalam menganjurkan program-program yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Mengulas perancangan OWM sempena Ramadan dan Aidilfitri, Noor Razlina Noor Mohamed berkata pertubuhan itu merancang untuk menganjurkan majlis berskala sederhana dengan penekanan kepada pengisian rohani, ketenangan jiwa dan kebersamaan.

“Bagi musim Ramadan dan Aidilfitri, OWM merancang untuk menganjurkan majlis-majlis berskala sederhana, namun lebih fokus kepada pengisian rohani, ketenangan jiwa dan kebersamaan.

“Pendekatan kami adalah untuk tidak terlalu besar dari segi skala, tetapi bermakna dari sudut impak, selari dengan semangat Ramadan itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan prinsip OWM dalam pemilihan penceramah kekal jelas, khususnya berhubung isu penjemputan pendakwah tidak bertauliah atau kontroversi.

“Setiap penganjur mempunyai strategi dan pendekatan masing-masing, dan saya tidak berada pada posisi untuk menilai keputusan pihak lain.

“Namun bagi OWM, penceramah mestilah mempunyai tauliah yang sah. Kami juga mengambil kira maklum balas dan permintaan peserta setia yang mengikuti program-program kami.

“Keutamaan kami adalah kualiti pengisian, keberkatan ilmu dan manfaat jangka panjang kepada peserta, bukan semata-mata sensasi atau kontroversi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN