PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, bermula Sabtu hadapan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan diskaun berkenaan akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam, 14 Februari 2026 (Sabtu) dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 15 Februari 2026 (Ahad).
Katanya, pemilihan tarikh pelaksanaan bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas pada hari puncak perjalanan di samping membolehkan penyelarasan logistik serta operasi tambahan di kawasan rehat dan rawat (R&R).
“Kerajaan Madani dalam Mesyuarat Kabinet semalam telah bersetuju untuk memberikan potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026.
“Keputusan ini diambil selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum, dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Inisiatif tersebut terpakai kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol, kecuali di plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan serta Plaza Tol Tanjung Kupang di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
Tambah Alexander, inisiatif itu diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat sempena musim perayaan, walaupun kerajaan menanggung kos sekitar RM19.5 juta sebagai bayaran balik kepada syarikat konsesi lebuh raya.
“Implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.5 juta.
“Pemberian diskaun ini diharap dapat meringankan beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga atau bercuti untuk menyambut awal Ramadan.
“Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi menge- lakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Pengguna juga disaran menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya menerusi saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook, X dan TikTok, selain boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 bagi mendapatkan maklumat terkini sebelum memulakan perjalanan. – UTUSAN









