KUALA LUMPUR: Penyanyi, Wany Hasrita, 33, serta merta mengubah gaya hidupnya selepas baru-baru ini disahkan menghidap pradiabetes.
Menurut Nurshazwany Hasrita Hasbullah, antara perubahan dilakukan adalah kembali aktif bersenam dengan berlari setiap pagi.
“Doktor sahkan saya alami pra-diabetes pada usia 33 tahun. Punca adalah gaya pemakanan. Sebelum ini saya makan kuaci terlalu banyak dan malas bersenam.
“Jadi saya kembali bersenam dengan melakukan aktiviti larian pada setiap hari. Saya jadi lebih bersemangat selepas memuat turun aplikasi Strava,” katanya.
Wany berkata demikian pada majlis pelancaran single terbaharunya, Lembayung Tari, baru-baru ini.
Penyanyi yang mencipta nama dengan lagu Menahan Rindu ini memaklumkan bakal menyertai lebih banyak acara larian sebagai sebahagian perancangan tahun ini.
“Acara pertama yang akan saya sertai tahun ini adalah Twin City Half Marathon di Putrajaya.
“Saya sebenarnya teruja dan mahu menjadikan sukan riadah ini sebagai perkara baharu yang saya mahu dalami.
“Dalam masa yang sama, aktiviti ini juga menjadi salah satu sebahagian perancangan dan sasaran hidup saya tahun ini,” kongsinya lagi.
Dalam masa yang sama, Wany juga gembira apabila peminat memberi respons positif dan sokongan terhadap setiap perkongsiannya mengenai aktiviti itu di laman sosial.
“Saya mula kerap berkongsi video larian saya di TikTok kerana ramai yang menontonnya.
“Peminat bukan sahaja menonton, malah bertukar pandangan dan cadangan mengenai aktiviti itu.
“Contoh, mengenai kasut atau perkara lain yang berkaitan. Saya selalu minta pendapat pengikut saya di TikTok,” ujarnya. – UTUSAN










