Diharamkan pegang telefon, Malique ada pantang larang masuk studio- Luca Sickta, Kmy Kmo - Utusan Malaysia

Diharamkan pegang telefon, Malique ada pantang larang masuk studio- Luca Sickta, Kmy Kmo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasangan rap duo, Kmy Kmo dan Luca Sickta, berkongsi pengalaman berharga sepanjang bekerjasama dengan penyanyi rap tersohor, Malique terutama ketika berada di studio rakaman.

Menurut mereka, komposer yang digelar The General itu sangat menitikberatkan disiplin serta mempunyai pantang larang tersendiri, termasuk larangan menggunakan telefon bimbit untuk membaca lirik semasa sesi rakaman berlangsung.

“Malique ini memang ada pantang larangnya. Kalau masuk studio, dia tidak suka kami tengok telefon. Jangan datang studio dengan niat nak baca lirik.

“Lirik itu mesti sudah ada dalam kepala dan terus dengan mikrofon. Dia sendiri pun, bila merakamkan lagu, tidak akan melihat lirik. Semuanya ditulis dan disimpan dalam ingatan,” kata Luca Sickta ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah Luca, Malique juga mempunyai teknik rakaman yang unik apabila mendengar muzik dan merakamkan baris demi baris secara spontan sehingga terhasil sebuah lagu lengkap.

Malah, bekas anggota kumpulan Too Phat itu turut berkongsi lima tahap penulisan lirik yang diamalkannya demi mencapai kualiti terbaik.

“Tahap pertama ialah menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran. Kemudian diikuti mencantikkan bahasa, pemilihan kosa kata, menyerapkan ‘feel’ atau perasaan dan tahap terakhir ialah menghafal keseluruhan lirik.

“Kita mahukan kesempurnaan,” jelas Luca.

Sementara itu, Kmy Kmo secara berseloroh mengakui mereka masih belum mencapai tahap ‘genius’ seperti Malique yang mampu menghasilkan lirik tanpa mencatatkannya di atas kertas atau peranti.

“Secara peribadi, kami masih menggunakan iPhone untuk menaip lirik. Cuma kami cuba singkatkan tempoh menulis supaya tidak mengganggu kehidupan seharian.

“Macam Luca, dia sudah tetapkan waktu kerja dari pukul 9 hingga 11 pagi. Apa sahaja idea yang keluar dalam tempoh itu, itulah hasilnya,” katanya.

Mengulas mengenai sisi peribadi Malique, Kmy menyifatkan figura hip-hop itu sebagai seorang yang sangat mementingkan kualiti kerja sehingga sanggup bekerja tanpa mengira masa.

“Abang Malique ini lain sikit. Dia ada musimnya. Kalau waktu itu perlu bersama, maka bersamalah.

“Dia boleh bekerja sampai satu tahap, dia akan ajak kami bermalam di rumahnya untuk sambung kerja keesokan hari. Tahap kerja dia memang luar biasa,” katanya sambil mendedahkan Malique mempunyai banyak lagu yang masih tersimpan.

Sepanjang penglibatan mereka bersama Malique, Luca dan Kmy terlibat dalam pelbagai karya besar termasuk lagu Bukan Mudah, Chillax, Hikayat Ben Ladin, Aduneng, Ayo dan Mantera Perasingkan.

Dalam perkembangan lain, duo ini bakal tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Siapa Kami yang dijangka menemui peminat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN