PETALING JAYA: Sumber kewangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk memiliki saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dipersoalkan.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua berkata, isu pemilikan saham oleh penjawat awam bukan berkisar hanya kepada pengisytiharan pembelian dan pelupusan saham semata-mata.
Katanya, persoalan utama bagaimana Azam mampu memperoleh saham bernilai hampir jutaan ringgit sebagai seorang penjawat awam.
“Dari mana dan bagaimana anda, sebagai seorang pegawai kanan kerajaan berjawatan tetap, memperoleh kekayaan sedemikian?, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Azam menjelaskan pegangan saham bernilai RM800,000 itu telah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Azam berkata, pemilikan itu dibuat secara telus, mengikut prosedur dan tidak disembunyikan.
Katanya, saham itu dibeli pada tahun lalu dan telah dilupuskan dalam tahun sama.
Tony berkata, sebagai penjawat awam kanan yang mengetuai agensi penguatkuasaan utama negara, penjelasan terperinci berhubung sumber kewangan tersebut amat penting bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif serta memastikan keyakinan awam terhadap institusi.-UTUSAN










