NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan memberikan kuasa autonomi kepada pentadbir sekolah untuk menentukan sama ada mereka perlu meneruskan aktiviti berkaitan ketika cuaca panas selain membenarkan pemakaian baju sukan sepanjang masa atau sebaliknya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sentiasa prihatin dan mengambil berat kesihatan serta keselamatan warga sekolah terutamanya melibatkan murid dan guru semasa menghadapi keadaan cuaca panas seperti ini.
“Saya ingat perkara ini sudah kita ulang dan peringatkan pada setiap hari mengikut garis panduan yang kita tetapkan serta nasihat dari METMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) dan KKM (Kementerian Kesihatan).
“Jadi, saya mohon agar semua pentadbir sekolah untuk mengikuti garis panduan tersebut dari semasa ke semasa dan Insya-Allah, dengan adanya garis panduan itu, kita bolehkan uruskan perkara ini dengan baik.
“Oleh itu, tidak ada isu memandangkan garis panduan itu sendiri telah membenarkan pemakaian serta aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan ketika cuaca panas,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program perasmian dan Semarak Sejahtera Warga Emas Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Nibong Tebal di sini hari ini.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berharap agar pentadbir sekolah sentiasa peka terhadap perubahan cuaca ketika ini dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat dan kondusif sepanjang masa.
MetMalaysia sebelum ini melaporkan, kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami cuaca panas dan kurang hujan sehingga Selasa depan manakala beberapa lokasi berpotensi selain kawasan barat Semenanjung dan beberapa lokasi di Sabah serta Sarawak berpotensi dilanda ribut petir.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, risiko ribut petir tempoh singkat masih berpotensi berlaku di beberapa lokasi selain kawasan barat Semenanjung dan beberapa lokasi di Sabah serta Sarawak berpotensi dilanda ribut petir.-UTUSAN










